Kerancakan Komoditi Global
Serangan baru minyak terhadap Amazon
OLEH RHETT BUTLER
Dengan kenaikan harga barangan pertanian yang melonjak tinggi dan permintaan baru terhadap biofuel telah mempercepatkan lagi kegiatan pemusnahan hutan hujan terbesar dunia. Selagi tiada langkah-langkah tegas diambil, separuh daripada hutan Amazon Brazil akan ditebang, dibakar dan menjadi tandus dalam jangka masa 20 tahun yang akan datang.
Aktiviti penebangan hutan di Amazon Brazil yang sebelum ini mengalami penurunan selama 3 tahun berturut-turut telah mengalami peningkatan yang drastik dalam masa lima bulan terakhir tahun 2007, dan kelonjakan ini menghampiri dua kali ganda berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini yang sebahagian besarnya disebabkan oleh kerancakan komoditi global telah menghancurkan harapan bahawa inisiatif-inisiatif serta usaha-usaha pemuliharaan dan penguatkuasaan undang-undang berjaya melindungi hutan hujan daripada kepentingan pembangunan di rantau ini.
Ini juga turut sama memberi gambaran terhadap perkembangan peranan yang akan dimainkan oleh kepesatan ekonomi dan globalisasi dalam menentukan nasib hutan hujan terbesar dunia ini. Kepesatan ekonomi China, India, Asia Tenggara, Rusia dan negara Brazil sendiri telah merangsangkan permintaan antarabangsa terhadap komoditi pertanian, yang menyumbang kepada degradasi Amazon Brazil secara berperingkat. Sekiranya isu ini dibiarkan, pembangunan berasaskan komoditi ini bersama dengan aktiviti pembalakan, penempatan pertanian dan perubahan skala besar seperti kebakaran dan kemarau. Menurut kajian terbaru, adalah dijangkakan bahawa keadaan ini akan menyebabkan lebih dari separuh kawasan Amazon dibalak, dibakar dan musnah dalam masa 20 tahun. Ditambah lagi dengan faktor perubahan cuaca, yang dijangka akan menyebabkan sebahagian kawasan Amazon menjadi kering dan panas, kerugian yang dialami kawasan ini akan menjadi lebih buruk.
Sejarah telah membuktikan kecekalan Amazon terhadap perubahan cuaca, gangguan manusia iaitu populasi pra-Colombia, dan juga kebakaran dan kemarau yang ekstrem semasa peristiwa yang serupa dengan El- Niño berlaku pada abd-abad yang lalu. Namun pada masa kini, serangan hebat yang melanda Amazon ini adalah sesuatu yang baru. Kawasan ini tidak pernah mengalami impak yang berterusan akibat daripada degradasi dan kemusnahan skala besar, fragmentasi, kebakaran dan pemanasan global sebelum ini. Ramai saintis dan penyokong pemuliharaan merasai kebimbangan bukan sahaja terhadap disebabkan kehilangan kepelbagaian biodiversiti berikutan daripada kemusnahan hutan, tetapi juga disebabkan oleh kegiatan pembalakan dan pembakaran kawasan simpanan karbon ini yang akan memanaskan lagi planet ini yang telahpun mengalami pemanasan pada tahap yang merunsingkan.
Menurut Philip M. Fearnside, seorang profesor penyelidikan di Institut Kajian Amazon Kebangsaan (National Institute for Research in the Amazon) di Manaus, Brazil, telah menyatakan bahawa “penyahhutan Amazon membebaskan sejumlah besar gas rumah hijau”. “Berbeza dengan kawasan tropika yang lain yang turut sama menghadapi penyahhutan yang pantas, Amazonia mampu membebaskan jumlah gas yang lebih besar pada masa hadapan kerana masih terdapat kebanyakan kawasan hutan yang belum dimusnahkan. Ini merupakan sebahagian daripada set kitaran kejam yang dijana oleh pemanasan global, terutamanya kesan daripada peranannya sebagai pencetus kepada ancaman bencana El- Niño. Ini menyebabkan pokok-pokok hutan Amazon mati akibat daripada kemarau dan kebakaran, membebaskan gas-gas yang membawa kepada lebih banyak pemanasan dan kematian lebih banyak pokok. Hasil pembebasan gas dari pokok-pokok mati dan pemanasan tanah juga boleh menyumbangkan kepada kesan rumah hijau yang tidak terkawal”.
Peneraju Penyahhutan di Amazonia Brazil
Berbanding dengan era 1970-an, ketika penyahhutan seringkali dikaitkan dengan skim pembangunan di bawah galakan kerajaan yang mempromosikan kolonisasi oleh petani sara diri, perubahan penggunaan tanah di Amazon Brazil dikuasai oleh penukaran skala besar hutan kepada pertanian industri dan padang rumput gembala. Pandangan bahawa Amazon sebagai “gurun hijau”, iaitu tidak bernilai untuk dibangunkan, merupakan pandangan yang telah lama berlalu. Pada hari ini, rakyat Brazil melihat Amazon sebagai tanah pertanian baru Amerika Selatan, menandingi kawasan pertengahan Amerika Syarikat (AS), yang akan mengisi minyak ke dalam tangki minyak dan menyediakan makanan di meja di seluruh dunia. Perubahan ini, dengan implikasi yang amat mendalam terhadap masa depan Amazon, telah menjadi kenyataan menerusi perkembangan infrastruktur, penghapusan hampir keseluruhan wabak penyakit kaki dan mulut haiwan ternakan, dan inovasi pertanian yang telah mengubah tanah kawasan ini yang dahulunya berada dalam keadaan berasid, kepada tanah yang sesuai untuk penanaman soya secara ekstensif.
Perannya sebagai zon pertanian utama menyebabkan Amazon menyedari bahawa ia semakin terikat dengan pasaran global bagi makanan dan biofuel, dengan peningkatan harga telah membekalkan insentif untuk tujuan penerokaan hutan. Terdapat banyak faktor yang membawa kepada penebangan hutan. Antaranya adalah peningkatan harga komoditi yang digalakkan oleh permintaan antarabangsa terhadap bekalan ruji pertanian; penggunaan daging yang meningkat di kalangan negara-negara sedang membangun, dan pasaran baru yang telah mengapungkan permintaan untuk bijirin sebagai makanan ternakan. Begitu juga peningkatan kepentingan biofuel, akibat daripada lonjakan harga minyak dan subsidi Amerika Syarikat untuk minyak jagung (etanol). Satu lagi pemangkin kepada perkembangan pertanian Brazil adalah sebuah program bernilai $43bilion yang dikenali sebagai Avanca Brasil (Brazil Maju), yang membiayai pembinaan jalan raya, pelabuhan, saluran paip, empangan hidroelektrik dan pelbagai pembaikpulihan infrastruktur di dalam dan di sekitar Amazon.
Data satelit Brazil yang diperolehi pada akhir tahun 2007 menunjukkan peningkatan nyata dalam jumlah kebakaran dan penyahhutan di negeri-negeri perusahaan ternakan dan soya yang utama iaitu Pará dan Mato Grosso. Kemusnahan hutan di kedua-dua negeri meningkat kepada 50 peratus atau lebih dalam jangka masa yang sama pada tahun 2006, diiringi dengan kes kebakaran yang sangat besar. Misalnyanya di Mato Grosso yang mengalami peningkatan lebih daripada 100 peratus. Sebanyak 123,000 kes kebakaran di kawasan Amazon yang dikesan oleh satelit Terra dan AQUA mencatatkan jumlah yang tertinggi sejak pendekatan ini mula digunakan pada tahun 2003. Penyahhutanan pada 5 bulan terakhir tahun 2007 dijangka akan menjangkaui 7,000 km persegi, iaitu kawasan bersaiz dua kali ganda daripada saiz Pulau Rhode (Rhode Island).
Politik dan ekonomi, sama ada di Brazil mahupun di negara lain, merupakan pemain utama dalam perkembangan pertanian di Amazon. Dasar tenaga AS, yang menganugerahkan subsidi yang lumayan untuk minyak etanol jagung telah secara berkesannya mengelakkan petani-petani Amerika daripada menanam soya, malahan mempromosikan tanaman jagung di Brazil.
“Kami melihat hubungkait antara jagung [ethanol] dengan penyahhutan Amazon,” kata Dr. William F. Laurance, seorang penyelidik di Institut Kajian Tropika Smithsonian (Smithsonian Tropical Research Institute) dan juga pengarang kepada sepucuk surat yang diterbitkan di dalam jurnal Science pada Disember 2007 yang membincangkan topik berkenaan.
“Kami melihat harga soya melonjak naik, sebahagiannya adalah kerana kekurangan penanaman soya di AS, akibat perkembangan penanaman jagung untuk memenuhi permintaan yang meningkat secara mendadak terhadap industri etanol yang semakin berkembang,” tambah Dr. Daniel Nepstad, pengarah program Amazon di Pusat Kajian Woods Hole (Woods Hole Research Center) di Belém, Brazil. “Sama seperti perkembangan tebu di selatan Brazil, pengeluaran soya pula mengarah ke utara, menguasai serta mengambil alih Amazon.”
Walaupun pengusaha soya utama di Amazon kini sedang memantau satu moratorium dua tahun mengenai penebangan baru untuk tanaman soya, moratorium sebegini tidak terdapat di kawasan Cerrado yang berhampiran, iaitu sebuah ekosistem savana yang sedang mengalami penukaran kegunaan tanah tiga kali ganda lebih cepat berbanding dengan hutan hujan Amazon. Penanaman soya dan tebu sebagai sumber etanol Brazil telah disebarkan ke dalam kawasan Cerrado, bersaing dengan penternakan lembu, yang merupakan aktiviti pertanian dominan di kawasan tersebut. Penternakan berintensiti rendah yang mendatangkan hasil keuntungan per hektar yang lebih kurang berbanding dengan pertanian industri, telah dialihkan ke kawasan pedalaman, dan ini meningkatkan lagi penyahhutanan. Penternak yang menjual tanah mereka kepada pengusaha soya dan tebu mampu membeli tanah 10 kali lebih luas di kawasan pedalaman.
Memandangkan permintaan terhadap biofuel yang semakin meningkat, terdapat juga kemungkinan yang besar untuk kelapa sawit menjadi tanaman dominan di Amazon. Ini merupakan suatu perkembangan yang tidak begitu menyenangkan kerana perladangan kelapa sawit telahpun menjadi kuasa utama kemusnahan sebahagian besar hutan hujan di Indonesia dan Malaysia baru-baru ini. Saintis telah menjangka bahawa Brazil mempunyai kawasan hutan seluas 2.3juta km persegi yang sesuai untuk perladangan sawit, yang bersamaan dengan gabungan kawasan hutan yang kondusif untuk pengeluaran soya dan gula.
Penghantaran hasil-hasil pertanian ini ke pasaran selama ini adalah satu bentuk halangan kepada pembangunan di Amazon kini menjadi lebih mudah dan pantas dengan kewujudan projek-projek jalan raya yang dibiayai oleh program Avanca Brasil. Pembangunan Lebuhraya Merentas Lautan (Transoceanic Highway), yang menyambungkan pedalaman Amazon dengan pelabuhan-pelabuhan Pasifik di Peru menjanjikan stimulasi yang lebih jauh dalam perkembangan pertanian. Jalan-jalan seperti Transoceanic memberikan kemudahan laluan kepada pembalak, pelabur-pelabur tanah, penternak, petani dan peneroka untuk mengakses ke kawasan yang lebih terpencil. Kepentingan ekonomi ini, terutamanya bagi sektor pembalakan dan industri agro kemudiannya akan membina jalan-jalan secara “tidak rasmi”, yang seterusnya menebangkan lebih banyak hutan untuk tujuan pembangunan.
Ancaman-ancaman Sinergi
Apabila permintaan global yang meningkat terhadap komoditi pertanian yang dihasilkan di Amazon, tahap kemusnahan rantau ini semakin meningkat dengan dilanda kemarau, pemecahan dan kebakaran hutan, kesemuanya diburukkan lagi dengan perubahan cuaca. Impak sinergi daripada gabungan bencana-bencana ini menimbulkan persoalan terbesar kepada masa depan Amazonia.
Menyedari pengaruh kuat daripada perubahan cuaca, saintis berusaha untuk memahami potensi impaknya terhadap hutan hujan terbesar planet ini. Beberapa model mencadangkan bahawa sebahagian daripada Amazon akan mengalami peningkatan suhu dan pengurangan kadar hujan, sementara di kawasan lain akan mendapat lebih hujan. Namun, hujahan ini masih jauh daripada jalan penyelesaian apabila melibatkan jangkaan terhadap sensitiviti ekosistem kawasan itu terhadap pemanasan global.
Pengetahuan yang kurang mengenai perubahan semasa di Amazon menimbulkan kebimbangan. Pembersihan hutan secara besar-besaran telah menyedut kelembapan daripada pecahan-pecahan hutan di sekeliling dan membenarkan angin untuk menumbangkan pokok-pokok, menjejaskan saiz kanopi dan membolehkan cahaya matahari untuk jejak ke lantai hutan. Ini telah mengeringkan bahagian organik lapisan tanah dan membunuh pokok-pokok. Pokok-pokok yang hampir mati akan menggugurkan daun dan ranting-ranting, mewujudkan bahan mudah terbakar bagi kebakaran setinggi paras lutut yang merebak ke hutan dari pembersihan kawasan pertanian yang berdekatan. Walaupun kebakaran ini adalah kecil, ia boleh menyebabkan kerosakan yang signifikan terhadap ekosistem yang tidak begitu sesuai dengan kebakaran.
“Walaupun kebakaran-kebakaran ini secara relatifnya tidak kelihatan begitu berbahaya, namun ia sebenarnya amat membinasakan kerana kebanyakan hutan hujan mempunyai kadar toleransi yang rendah terhadap haba,” kata Jos Barlow, penyelidik di Universiti Lancaster, United Kingdom dan di Museum Paraense Emílio Goeldi di Brazil. “Dan pergerakan yang perlahan bermakna api akan membakar pokok dalam jangka masa yang lebih lama. Akibatnya, kebakaran berintensiti rendah juga tetap membakar sehingga 40 peratus pokok-pokok.”
Dengan tumbuh-tumbuhan mengalami kemusnahan, kapasiti untuk menjana hujan oleh hutan tersebut dikurangkan, sebanyak setengah daripada kadar kelembapan di sebahagian kawasan Amazon dikitar semula menerusi transpirasi sejatan. Semakin kurang pokok bermakna semakin kurang jumlah hujan, sementara asap tebal daripada pembakaran telah dibuktikan menyekat formasi awan dan mengurangkan kadar hujan yang turun. Kesan-kesan ini tidak terhad kepada Brazil semata-mata; penyelidikan yang diketuai oleh Roni Avissar daripada Universiti Duke mencadangkan bahawa perubahan-perubahan di Amazon mungkin mempunyai kesan yang lebih besar, mempengaruhi corak hujan yang turun dari Mexico hingga ke Texas.
Satu simulasi yang dilakukan oleh Peter Cox dan rakan setugasnya di Pusat Kajian dan Ramalan Cuaca Hadley (Hadley Centre for Climate Prediction and Research) menimbulkan kontroversi dan tanda amaran apabila ia meramalkan kematian tumbuh-tumbuhan yang signifikan (“dieback”) dalam hutan hujan Amazon pada pertengahan abad dan keruntuhan sebenar ekosistem itu menjelang tahun 2100. Unjuran yang hanya membuat penilaian terhadap impak peningkatan tumpuan karbon dioksida atmosfera kepada suhu dan mendakan serantau, telah dibayangi oleh model-model yang meramalkan hala yang lebih pantas berikutan dengan interaksi dengan perubahan cuaca dan penggunaan tanah.
Menulis untuk Philosophical Transactions of the Royal Society B awal tahun ini, Daniel Nepstad dan rakan-rakan sekerjanya meramalkan bahawa 55 peratus daripada hutan Amazon akan “dihapuskan, dibalak, musnah akibat kemarau, atau dibakar” dalam masa 20 tahun akan datang sekiranya penyahhutan, kebakaran hutan dan tren cuaca berterusan dengan kencang. Kerosakan ini akan membebaskan 15 hingga 26 bilion tan karbon ke atmosfera, menambah kepada kitaran yang akan memburukkan lagi pemanasan dan pemusnahan hutan di kawasan itu. Nepstad menyatakan senario ini adalah konservatif – kemusnahan hutan dan pembebasan gas boleh menjadi jauh lebih teruk.
“Model Hadley [menunjukkan] terdapat kematian hutan (“dieback”) yang besar di hutan Amazon pada penghujung abad ini,” katanya. “Tetapi sebelum pemanasan global bermula, akan terdapat pelbagai bentuk kemusnahan akibat kemarau yang telah kita saksikan, begitu juga dengan penyahhutan, pembalakan, dan kebakaran yang merupakan sebahagian daripada rejim tersebut.”
Nepstad dan saintis yang lain menekankan bahawa Amazon sedang menuju ke arah kejadiankemarau yang pernah melanda pada tahun 2005. Kemarau tersebut, yang telah dikaitkan dengan pemanasan di Atlantik tropika berbanding dengan El Niño, adalah yang terburuk sekali dalam ingatan. Sungai-sungai mengering, komuniti-komuniti pedalaman terpencil dan perdagangan tergendala. Beribu-ribu kilometer persegi tanah terbakar untuk tempoh berbulan-bulan, membebaskan lebih dari 100 juta tan metrik karbon ke dalam atmosfera.
Walaupun dilihat sebagai sesuatu yang sukar untuk dielakkan bahawa kebanyakan kawasan Amazon akan dibakar, dibajak untuk ternakan dan pertanian soya, atau ditukar menjadi savana oleh perubahan cuaca, namun kemunculan tren-tren menunjukkan bahawa masih terdapat alasan untuk percaya bahawa Amazon boleh mengelakkan nasib yang paling teruk. Dengan masa hadapan yang dikelilingi dengan ketidakpastian terhadap impak drastik pemanasan global dan perubahan besar dalam ekonomi antarabangsa, peneraju-peneraju yang sama inilah yang berkemungkinan memegang kunci yang mampu menyelamatkan Amazon.
Seandainya kuasa-kuasa industri utama dunia bersetuju untuk menetapkan harga terhadap berbilion tan gas-gas rumah hijau yang dimuntahkan ke dalam atmosfera setiap tahun, ia mampu mencipta pentas untuk langkah-langkah pemuliharaan inovatif yang boleh mengawal penyahhutan di Amazon dalam masa sedekad. Di bawah satu inisiatif utama yang dikenali sebagai REDD (Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation), kedua-dua pihak pelabur swasta dan kerajaan akan membayar Brazil dan penduduk Amazon agar untuk tidak membalak atau membakar hutan hujan. Pasaran REDD akan dijana oleh keperluan industri-industri dan negara untuk mengimbangi pengeluaran gas rumah hijau dengan membayar pihak lain untuk memelihara hutan mereka yang menyerap karbon. Sokongan terhadap projek REDD ini semakin meningkat dengan kesedaran bahawa dengan hanya menggunakan pendekatan pemuliharaan tradisional adalah tidak mencukupi untuk memperlahankan kemusnahan berterusan Amazon.
Diterjemahkan oleh (translated by)
Chiew Ping, Hoo
Hazizah Ali
| |