Mencabar Raksasa Penyahhutanan Tropika
Strategi baru dalam memulihara hutan tropika

RHETT BUTLER & WILLIAM LAURANCE


Dalam hanya 1 – 2 dekad, lumrah kemusnahan hutan tropika telah berubah. Pada masa dahulu proses pemusnahan hutan tropika yang didominasi oleh petani luar bandar kini diganti oleh industri-industri utama dan globalisasi ekonomi. Antara penyebab kemusnahan hutan secara mendadak ini adalah operasi pembalakan, penerokaan minyak dan gas, pertanian secara besar-besaran yang terancang dan penanaman pokok bukan asli (dan tanaman-tanaman eksotik). Walaupun disahut dengan cabaran yang serius, perubahan-perubahan sebegini sebenarnya juga turut membentuk peluang baru yang penting dalam pemuliharaan hutan. Di sini, kita menghujahkan bahawa dengan meningkatkan kempen dan tekanan daripada pihak awam terhadap korporasi dan kumpulan-kumpulan perdagangan tertentu, kepentingan pemuliharaan akan mempunyai pengaruh yang lebih kuat terhadap nasib hutan tropika.

Hutan tropika adalah ekosistem Bumi yang paling kaya dan memainkan peranan penting dalam hidrologi serantau, penyimpanan karbon dan iklim global. Namun, pemusnahan hutan tropika berlaku secara berterusan pada kadar yang pantas, dengan kira-kira 13 juta hektar kawasan hutan ditumbangkan atau dibersihkan setiap tahun. Walaupun kadar ini tidak menunjukkan perubahan yang signifikan dalam tempoh masa beberapa dekad yang lepas, tetapi penggalak utama aktiviti penyahhutanan telah beralih daripada penyahhutanan yang berasaskan kepada mata carian (pertanian sara diri) menjelang tahun 1960-an hingga 1980-an, kepada aktiviti penyahhutanan yang terdorong oleh kepentingan industri pada masa kini. Tren ini, kami percaya mempunyai implikasi penting dalam usaha pemuliharaan hutan.

Daripada tahun 1960-an hingga 1980-an, penyahhutanan tropika telah digalakkan secara besar-besaran menerusi dasar-dasar kerajaan untuk tujuan pembangunan luar bandar, ini merangkumi pinjaman pertanian, insentif-insentif cukai dan pembinaan jalan raya, selari dengan pertumbuhan populasi yang berlaku dengan pantas di kebanyakan negara sedang membangun. Kesemua inisiatif ini, terutamanya seperti yang terbukti di negara seperti Brazil dan Indonesia, telah mendorong kemasukan peneroka secara dramatik ke dalam kawasan pedalaman yang seterusnya menyebabkan pemusnahan hutan pada kadar yang tinggi. Idea bahawa kegiatan pertanian sara diri dan pertanian secara pindah-randah bertanggungjawab terhadap kemusnahan hutan telah membawa kepada usaha pemuliharaan seperti Projek Integrasi Pemuliharaan dan Pembangunan (Integrated Conservation and Development Projects atau ICDPs) yang bertujuan untuk menghubungkaitkan pemuliharaan semulajadi dengan pembangunan lestari luar bandar. Walau bagaimanapun, ramai yang percaya bahawa ICDP telah gagal kerana kelemahan-kelemahan dalam reka bentuk projek serta perlaksanaannya. Kegagalan ini juga adalah kerana masyarakat tempatan menyalahgunakan dana ICDP untuk meningkatkan pendapatan mereka dan bukan untuk menggantikan faedah mengeksploitasikan alam semualajadi.


Peru
Kebelakangan ini, impak secara langsung daripada penduduk luar bandar terhadap hutan tropika kelihatan lebih stabil, malahan terdapat penurunan di kawasan-kawasan tertentu. Walaupun kebanyakan negara tropika masih mempunyai kadar peningkatan populasi yang tinggi, tren urbanisasi yang semakin pesat di kalangan negara sedang membangun (kecuali rantau Sub-Sahara Afrika) bermakna populasi luar bandar mempunyai proses pertumbuhan yang lebih perlahan, malah di negara-negara tertentu proses ini telah mula berkurangan. Justeru, kepopularan program-program pembukaan kawasan pedalaman berskala besar juga turut mula berkurangan di sesetengah negara. Jika tren ini berterusan, ia akan meningkatkan ancaman terhadap hutan terutamanya daripada pertanian sara diri, perburuan dan pengumpulan kayu api. Pada masa yang sama, globalisasi pasaran kewangan dan peningkatan mendadak komuniti sedunia sedang membentuk suasana yang menarik bagi sektor swasta. Akhirnya, aktiviti pembalakan , perlombongan, penerokaan minyak dan gas serta pertanian skala besar bagi sektor perindustrian menjadi penyebab utama kepada kemusnahan hutan tropika. Di Amazon Brazil contohnya, penternakan skala besar berkembang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, dengan bilangan lembu meningkat lebih daripada tiga kali ganda (daripada 22 kepada 74 juta ekor) sejak tahun 1990, manakala pembalakan industri dan penanaman soya juga mengalami pertumbuhan yang dramatik. Permintaan yang menggunung terhadap biji-bijian dan minyak masakan digalakkan oleh kehausan global terhadap biofuel dan peningkatan taraf hidup di kalangan negara sedang membangun, telah membantu merancakkan lagi tren ini.

Walaupun kami dan pihak lain menyedari peningkatan aktiviti penyahhutanan skala industri, kami ingin menghujahkan bahawa ia juga pada masa yang sama turut memberi petanda kewujudan peluang-peluang baru untuk perlindungan dan pengurusan hutan. Berbanding dengan cubaan untuk mempengaruhi beratus ribu peneroka hutan tropika—cabaran yang amat sukar—adalah lebih baik untuk para penyokong pemuliharaan menumpukan perhatian mereka terhadap syarikat-syarikat besar yang mengeksploitasikan sumber semulajadi yang mempunyai bilangan yang jauh lebih sedikit. Kebanyakan syarikat ini adalah syarikat-syarikat multinasional atau syarikat tempatan yang ingin menembusi pasaran antarabangsa, yang mendorong mereka untuk menunjukkan sensitiviti mereka terhadap isu-isu alam sekitar yang semakin meningkat di kalangan pengguna global dan pemilik saham. Sebarang kesilapan yang dilakukan boleh menyebabkan syarikat atau firma tersebut terdedah kepada serangan terhadap imej awam mereka.

Menghadapi Korporasi

Pada hari ini, tidak banyak syarikat yang boleh mengambil sikap tidak acuh kepada alam sekitar, Kumpulan-kumpulan pemuliharaan kini bertindak mensasarkan target mereka terhadap syarikat yang tidak mematuhi peraturan perlindungan alam sekitar, dengan menggerakkan sokongan melalui boikot pengguna dan kempen-kempen peningkatan kesedaran terhadap alam sekitar. Sebagai contoh, berikutan daripada penentangan kuat masyarakat awam, Greenpeace berjaya memberi tekanan kepada syarikat perkilangan soya terbesar di Amazonia untuk mengimplementasikan moratorium terhadap pemprosesan soya, iaitu suatu bentuk mekanisme bagi mengenalpasti sumber-sumber serta hasil tanaman yang digunakan oleh syarikat-syarikat ini datang dari pengeluar-pengeluar yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Sebelum ini, boikot yang dilakukan oleh Jaringan Tindakan Hutan Hujan atau Rainforest Action Network (RAN) telah mendorong beberapa rantaian runcit utama Amerika Syarikat (AS) termasuk Home Depot dan Lowe’s untuk mengubah dasar pembelian mereka kepada pembelian yang menyokong produk kayu lestari. Akibat daripada ancaman imej awam yang negatif, RAN juga turut berjaya meyakinkan beberapa syarikat kewangan terbesar dunia termasuk Goldman Sachs, JP Morgan Chase, Citigroup Inc. dan Korporasi Bank-bank Amerika untuk mengubahsuai amalan pinjaman dan penjanaan mereka terhadap projek perhutanan.

Tren pada hari ini memudahkan kumpulan pemuliharaan untuk mempengaruhi industri-industri yang mengeksploitasi sumber-sumber alam. Skala ekonomi/ekonomi berasaskan skala (kos kelebihan yang diperolehi oleh sesebuah syarikat akibat penyebaran operasi), korporasi multinasional (multinational corporation atau MNC) menyebabkan mereka menyedari bahawa adalah lebih berkesan sekiranya aktiviti mereka difokuskan kepada beberapa buah negara yang besar, yang sekaligus telah mengurangkan liputan kawasan geografi yang perlu diawasi secara aktif oleh kumpulan pemuliharaan. Ditambahan pula dengan kebimbangan terhadap imej awam yang boleh tercemar, banyak syarikat telah membentuk perikatan yang menuntut mereka untuk mempromosikan alam sekitar lestari di kalangan keahlian mereka. Contoh sebegini termasuklah kumpulan industri seperti Aliança da Terra iaitu kumpulan penternak lembu di Amazonia, Meja Bulat untuk Kelapa Sawit Lestari (Roundtable on Sustainable Palm Oil) di Asia Tenggara dan Forest Stewardship Council (FSC) untuk industri pembalakan global. Oleh itu, berbanding dengan memberi sasaran kepada ratusan syarikat yang berlainan, adalah lebih berkesan bagi kumpulan pemuliharaan untuk memberi tekanan kepada beberapa industri utama sahaja.


Sabah.


Suriname.
Korporasi-korporasi juga turut dipengaruhi oleh ganjaran dan hukuman. Syarikat-syarikat yang cenderung kepada kelestarian menikmati peningkatan terhadap jumlah pengguna dan mendapat letak harga premium bagi produk-produk mesra-ekologi mereka. Menurut sumber industri, sebagai contoh, produk balak yang ‘hijau’ – iaitu produk yang dikeluarkan dengan cara lestari – dijual sebanyak ASD7.4 bilion di AS pada tahun 2005, dan dijangka meningkat kepada ASD38 bilion pada tahun 2010. Ganjaran sebegini mungkin mempunyai pengaruh yang lebih besar kepada syarikat-syarikat MNC yang sudah semestinya ingin memuaskan hati penggunanya dan pemegang-pemegang saham syarikat tersebut, berbanding dengan syarikat tempatan yang hanya beroperasi di dalam negara-negara sedang membangun.

Cabaran-cabaran Baru

Peningkatan impak daripada korporasi yang menjalankan kegiatan penyahhutanan turut mempunyai aspek-aspek negatif yang serius. Proses perindustrian boleh mempercepatkan lagi pemusnahan hutan, dengan hutan yang pada masa dahulu dibersihkan oleh petani-petani secara sara diri kini telah diganti oleh traktor. Tambahan pula, aktiviti-aktiviti industri seperti pembalakan, perlombongan dan penerokaan minyak dan gas menggalakkan penyahhutanan bukan sahaja secara langsung, malah juga secara tidak langsung, dengan membentuk kuasa dorongan ekonomi yang kuat untuk pembinaan jalan raya merentas hutan. Sekiranya terbina, jalan raya-jalan raya ini bakal menggalakkan pencerobohan hutan yang tidak terkawal oleh penjajah, pemburu dan para pelabur tanah.

Selain itu, satu lagi masalah utama adalah tidak semua pasaran memberi tindak balas terhadap keutamaan alam sekitar. Di kebanyakan negara sedang membangun, kerisauan mengenai alam sekitar diabaikan oleh golongan kelas pertengahan yang mempunyai permintaan pembangunan yang tinggi. Sebagai contoh, konsumer Asia menunjukkan minat yang kurang terhadap produk balak yang berlabel mesra-ekologi, berbanding dengan konsumer di Amerika Utara dan terutamanya di Eropah. Tambahan pula, dengan harga bahan mentah melonjak tinggi, usaha untuk memperolehi sumber semulajadi merambak, menjadikan kelestarian alam sekitar satu fikiran yang hanya akan dipertimbangkan selepas memenuhi kehendak yang kian meningkat.

Akhir sekali, peningkatan dalam bilangan konsumer yang mempunyai kesedaran ekologi juga tidak dapat menjamin kelakuan korporat yang baik. Banyak MNC telah dituduh melakukan greenwashing – iaitu mengeluarkan produk yang kelihatan ‘hijau’ yang sebenarnya hanya mempunyai faedah alam sekitar yang sedikit. Dalam industri balak tropika, misalnya, terdapat kumpulan-kumpulan yang ditaja oleh industri yang mempunyai niat sebenar yang diragui telah mencuba untuk bersaing dengan badan ekologi yang sah seperti (FSC). Aktiviti mengesan serta menjejak produk-produk daripada hutan kepada konsumer akhir – melalui rantaian orang tengah, pengeluar dan penjual – juga boleh boleh menjadi satu tugasan yang sangat sukar. Misalnya, Greenpeace baru-baru ini telah mendedahkan bahawa syarikat makanan gergasi seperti Nestlé, Procter & Gamble dan Unilever telah menggunakan hasil kelapa sawit yang berasal daripada kawasan penyahhutanan; berlawanan dengan penegasan yang telah mereka buat di sidang Meja Bulat untuk Kelapa Sawit Lestari. Kekusutan sebegini memanfaatkan pihak yang tidak jujur dan menjejaskan faedah syarikat yang melakukan usaha niat-baik yang sebenar untuk kelestarian.

Masa Depan

Walaupun terdapat kekusutan, penyokong pemuliharaan mesti belajar untuk menangani secara berkesan dan berkeras dengan korporat yang merupakan penggalak penyahhutanan tropika. Penggalak-penggalak tersebut pastinya akan meningkat pada masa hadapan kerana aktiviti industri global dijangka akan berkembang sebanyak 300 hingga 600% menjelang tahun 2050, dengan kebanyakan daripada pertumbuhan ini berlaku di kalangan negara-negara sedang membangun. Daripada itu, bilangan korporasi yang menyedari bahawa kelestarian alam sekitar merupakan perniagaan yang baik akan turut meningkat. Berikutan dengan tren ini, kami merasai bahawa perlunya mengadakan dialog dan debat di antara kumpulan berkepentingan industri, saintifik dan pemuliharaan tropika.

Selain daripada pengaruh kumpulan alam sekitar, impak industri akan turut sama dipantau menerusi dasar kerajaan dan perjanjian-perjanjian antarabangsa, seperti Konvensyen Kerangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke atas Perubahan Iklim (UNFCCC) dan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD). Contohnya, pemberian insentif/subsidi secara besar-besaran oleh Kerajaan AS dalam pengekstrakan etanol jagung telah mewujudkan pasaran yang menjurus ke arah menggalakkan penyahhutanan di Amazon, sementara perdagangan karbon antarabangsa mampu melambatkan kepesatan pemusnahan hutan di negara-negara tertentu secara berperingkat. Disebabkan oleh dasar-dasar seperti ini yang boleh diubah dengan mudah dan mempunyai implikasi jangka masa panjang, penyokong pemuliharaan telah mengabaikan perkara-perkara sebegini yang meletakkan usaha pemuliharaan pada tahap yang bahaya. Perubahan berada di hadapan kita. Daripada satu sudut pandangan, kepesatan globalisasi dan industri pertanian, pembalakan, perlombongan dan pengeluaran biofuel semakin menonjol sebagai penggalak penyahhutanan tropika. Daripada aspek yang berlainan pula, peningkatan kebimbangan awam mengenai kelestarian alam sekitar telah mewujudkan peluang-peluang baru yang penting untuk perlindungan hutan. Dengan mensasarkan industri strategik bersama dengan kempen mendidik konsumer, kepentingan pemuliharaan boleh memperolehi senjata baru yang kuat dalam pertempuran untuk melambatkan bahaya pemusnahan hutan.

Cabaran untuk pensijilan ekologi

Di kawasan tropika, seperti di kawasan lain, skim pensijilan ekologi menghadapi halangan yang besar. Walaupun terdapat konsumer yang menyokong produk mesra-ekologi, pensijilan ekologi ini masih boleh digagalkan menerusi kegiatan rasuah dan urus tadbir yang lemah, kaedah-kaedah yang tidak berkesan dalam menjamin kelestarian alam sekitar, serta kebocoran produk yang tidak diluluskan menerusi pensijilan ini ke dalam pasaran.

Sebagai contoh, FSC yang sering dilihat sebagai pensijilan diiktiraf berstandard emas untuk produk kayuan telah dikritik oleh kumpulan-kumpulan alam sekitar tertentu. Pengkritik mengatakan bahawa pensijilan FSC terhadap produk yang dihasilkan daripada ‘sumber bercampur’, seperti perabot yang hanya sebahagiannya diperbuat daripada balak bersijil, telah mengurangkan kredibiliti FSC. Pensijilan terhadap skim balak yang diragui, misalnya penanaman pokok satu spesies pada kawasan hutan yang ditebang juga menurunkan standard label. Pada tahun lepas, satu siasatan yang dibuat oleh The Wall Street Journal telah memaksa FSC menarik balik pensijilan terhadap Syarikat Palpa dan Kertas Asia yang dimiliki oleh Singapura kerana mendapati bahawa ia menjalankan aktiviti yang memusnahkan alam sekitar di Pulau Sumatra Indonesia.

Amalan rasuah dan kegiatan pemalsuan juga merupakan kebimbangan yang besar. Kerjasama dengan pegawai yang menerima rasuah membenarkan sesetengah syarikat memalsukan sijil pada produk mereka manakala ada yang mendakwa bahawa mereka memiliki sijil sedangkan pada hakikatnya tidak. Satu laporan yang terkini mengenai pembalakan haram di Asia Tenggara telah menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya dua syarikat perabot utama telah memasarkan produk mereka sebagai bersijil ekologi tetapi sebenarnya tidak memiliki sijil tersebut.

Satu lagi cabaran adalah membuat penilaian wajar terhadap aktiviti-aktiviti korporasi balak antarabangsa. Pemberi sijil ekologi telah dituduh mempunyai fokus yang terlalu sempit kepada operasi pembalakan di dalam kawasan pemuliharaan utama, dan mengabaikan operasi yang memusnahkan hutan tropika di kawasan lain. Tambahan lagi, korporasi balak kerapkali membeli balak daripada pelbagai sumber yang berlainan dan mempunyai sub-kontrak dengan syarikat pembalakan lain, dan ini menyukarkan usaha untuk mengenal pasti sama ada anak syarikat dan syarikat pakatan tersebut turut sama terlibat dalam pembalakan haram atau tidak.

Akhirnya, terdapat kritikan yang menghujahkan bahawa operasi pembalakan yang bersijil ekologi itu sendiri juga bukan merupakan penyelesaian kepada isu kelestarian dalam jangka masa panjang. Aktiviti-aktiviti pembalakan yang berulangan di kawasan-kawasan hutan tua boleh mengurangkan simpanan karbon dan merosakkan habitat hutan yang seterusnya akan mengancam kepelbagaian biologi. Selanjutnya, hutan yang telah mengalami proses pembalakan lebih terdedah kepada masalah kekeringan, kebakaran hutan dan penyahhutanan, berbanding dengan hutan yang tidak pernah menerima aktiviti pembalakan.

Diterjemahkan oleh (translated by)

Chiew Ping, Hoo
Hazizah Ali
Laman utama | Mengenai laman ini | Bahasa Inggeris | Dokumen

Copyright Rhett Butler 2006